Friday 16 December 2011

Warga pendidik prihatin alam sekitar


PROGRAM Warga Pendidik Prihatin Alam Sekitar dijangka menjadi teras untuk menyemarakkan aktiviti kokurikulum yang berkaitan dapat menyemai kesedaran dan kecintaan terhadap bumi kita.
Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, usaha tersebut akan memberi rangsangan kepada semua warga pendidik untuk terus melaksanakan aktiviti yang menjurus kepada pemeliharaan alam sekitar yang telah mula dilaksanakan oleh KPM sejak 1996.




Menurut beliau, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) juga telah menerbitkan buku Panduan Guru Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum sebagai asas dan pembelajaran mengikut tahapnya.
Selain itu, katanya, Persatuan berkaitan juga telah ditubuhkan di sekolah-sekolah sebagai langkah melengkapi aspek pembelajaran dalam kelas.
"Diharap agar program ini tidak diadakan secara bermusim atau bagi memenuhi tuntutan kokurikulum semata-mata," pada majlis pelancaran program itu di Sekolah Menengah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.
Jelas Noorainee, kita bukan sahaja perlu memupuk kesedaran tentang kepentingan alam sekitar malah penting untuk membudayakannya dalam kehidupan seharian.
"Mengamalkannya setiap hari akan dapat mengukuhkan kesedaran yang disemai melalui pembelajaran dalam bilik darjah," jelas isteri kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau memberitahu, sumbangan guru dalam usaha ini adalah penting kerana ia memerlukan kemahiran, kreativiti dan komitmen mereka untuk memastikan kesedaran membudayakan amalan ini diamalkan di kalangan warga sekolah.
Tanggungjawab memelihara alam sekitar, ujarnya, bukan hanya terletak di bahu guru, orang dewasa atau ahli persatuan sahaja tetapi merupakan tanggungjawab setiap individu.
"Ia boleh dimulakan dengan langkah yang kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik di sekolah, menghijaukan kawasan sekolah dengan menanam pokok serta membina taman rekreasi dan sebagainya," saran Noorainee.
Tambahnya, langkah kecil yang dilakukan secara berterusan akan menjadi kebiasaan dan seterusnya menjadi amalan seharian tidak kira di mana pelajar itu berada.
Bagaimanapun, kerjasama semua pihak adalah penting dalam memberi sokongan bagi memastikan pencemaran alam dapat dibendung, flora dan fauna dipelihara agar fenomena pemanasan global tidak begitu rakus membawa bencana dalam kehidupan.
Dengan cara ini, negara akan mampu melahirkan generasi yang mengutamakan unsur pelestarian alam sekitar dalam apa jua tindakan seterusnya mengekalkan keadaan alam sekitar yang baik untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Puspanita, Datin Seri Wan Norasiah Che Jaafar berkata, kerosakan alam sekitar perlu dipulihkan dan dipelihara supaya kesan negatifnya ke atas kehidupan akan dapat diminimumkan.
"Atas kesedaran itu, platform terbaik ialah dengan membangunkan modal insan yang prihatin terhadap alam sekitar dan ia paling berkesan dimulakan di sekolah," tegasnya.
Pada majlis itu, beberapa syarikat swasta turut memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi menjayakan program alam sekitar berkenaan.
Antaranya ialah Kumpulan Karangkraf yang memberi sumbangan berupa biasiswa bernilai RM30,000 dan syarikat Sasbadi Sdn. Bhd. yang memberi sumbangan berupa bahan bacaan bagi program itu.
Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. pula memberi sumbangan wang tunai bernilai RM10,000, Boston Web Academy Sdn. Bhd. (RM5,000), Canggih Sdn. Bhd. (RM5,000), Puspanita (RM3,000), Bank Rakyat (RM3,000), Red Curser Sdn. Bhd. (RM5,000) dan Taman Tema Sunway Lagoon yang memberikan sumbangan berupa baucer.
Sebagai simbolik perasmian program tersebut, Noorainee dan Wan Norasiah turut menanam lima batang pokok di kawasan sekolah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Komen cikgu: Cikgu pun sayang jugak alam sekitar...   :)


Rahsia Menjadi Juara Program 3K


SEREMBAN 27 Jun - Pelbagai teori pengurusan semasa yang diterapkan sebagai cara kerja seharian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Panjang, Negeri Sembilan, berjaya mengharumkan nama sekolah apabila muncul johan pertandingan kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K) peringkat kebangsaan kategori sekolah menengah bagi tahun 2009.
Antara teori pengurusan yang diamalkan di sekolah itu ialah Blue Ocean Strategy dan permuafakatan organisasi (CO), yang dipantau sendiri oleh pengetua sekolah.
Kata Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Yeow Bee Lin, pelbagai amalan dan pendekatan pengurusan berjaya menyatukan hati seluruh warga guru dan masyarakat setempat untuk bersama-sama memajukan sekolah berkenaan.
Dalam teori pengurusan Blue Ocean Strategy semua guru diberi kebebasan menyuarakan pendapat dan tiada budaya cantas mencantas dalam kalangan warganya, manakala di bawah CO, semua warga SMK Sekolah Pasir Panjang dan masyarakat setempat bekerjasama menjalankan aktiviti berkaitan program 3K.
SMK Pasir Panjang ialah sekolah berstatus luar bandar, dengan jumlah enrolmen pelajar 605 orang dan bilangan guru 50 orang.
Latar belakang ekonomi ibu bapa di situ adalah rendah dan sederhana, dengan 80 peratus bekerja di hotel dan pusat peranginan sebagai pembantu am atau sebagainya.



Yeow menambah, permuafakatan setempat dizahirkan dengan penubuhan jawatankuasa induk 3K, yang keahliannya meliputi warga guru, beberapa agensi luar dan tujuh jawatankuasa kerja kampung (JKK).
Konsep CO berlangsung dalam beberapa bentuk aktiviti seperti gotong royong, kayuhan merdeka (berbasikal), khatam al-quran, bergotong royong membuat kuih tradisional pelbagai kaum dan sebagainya. Konsep itu dizahirkan melalui ungkapan budaya disemai di sekolah, disuburkan di rumah, diperkukuhkan dalam masyarakat.
``Bila setiap kali bermesyuarat, kita sebarkan sebarang maklumat tentang aktiviti 3K,’’ kata Yeow.
Sekolah itu mula dilibatkan dengan aktiviti 3K peringkat daerah pada 2007 dan muncul juara, sebelum ke peringkat negeri, pada tahun berikutnya.
Yeow menambah kata, program 3K ternyata telah meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan di sekolah berkenaan, selain meningkatkan sahsiah pelajarnya.
Bukan setakat itu sahaja, sesuai dengan keperluan pertandingan 3K itu sendiri, pihak sekolah mengadakan program diet khas yang dipanggil fit and trim bagi mendapatkan berat badan unggul (BMI) dalam kalangan pelajarnya.


-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Komen cikgu: Sekolah kita pun patut mencontohi pengurusan mereka. Nanti cikgu akan cadangkan kepada pihak sekolah...



Kerajaan negeri Terengganu memperkenalkan Anugerah Tokoh Nilam Guru kepada pendidik yang berkhidmat di negeri ini yang diakui banyak membaca serta aktif dalam kegiatan ilmuan hingga ke peringkat antarabangsa. Anugerah itu diilhamkan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, dan Sumber Manusia Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT). Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ketika merasmikan Hari Guru Terengganu di Universiti Darul Iman baru-baru ini berkata, Terengganu negeri pertama memperkenalkan anugerah itu dan matlamatnya meningkatkan kadar pembacaan dalam kalangan guru. “Penyertaan terbuka kepada semua guru yang berkhidmat di negeri ini dan mereka melalui beberapa saringan yang rapi serta dinilai oleh panel profesional dari dalam dan luar Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut. Seramai 1,600 guru pelbagai peringkat serta jemputan khas telah menghadiri majlis yang diadakan di sini.


Menurut Ahmad, anugerah itu juga adalah satu penghargaan kepada lebih 21,00 orang guru di Terengganu atas sumbangan dan dedikasi mendidik pelajar bagi mencapai hasrat menjadikan negeri itu sebagai Anjung Ilmu. Beliau juga berjanji kerajaan negeri akan sentiasa memberi sumbangan dan insentif bagi menghargai jasa dan sumbangan guru. Sementara itu, pemenang pertama anugerah tersebut, Alias Ismail, 42, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jenderis, Hulu Terengganu berkata, beliau bangga dan bersyukur ke hadrat Ilahi atas pemilihan berkenaan. “Ini pengiktirafan terbesar kepada guru yang rajin membaca. Sudah tentu saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Terengganu,” katanya yang telah membaca lebih 2,100 buah buku dalam tempoh 35 tahun sejak berusia 6 tahun. Menurutnya, secara purata beliau membaca 60 buah buku setahun tanpa mengira ketebalan, iaitu 5 buah buku sebulan atau sebuah buku dalam masa enam hari. Katanya, sebahagian buku tersebut dipinjam daripada perpustakaan dan rakan-rakan, dan sebahagiannya merupakan buku yang dibeli pada pesta buku pada musim tertentu atau dibeli di kedai buku dalam dan luar negara. Sehingga kini beliau merupakan ahli Perpustakaan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Perpustakaan Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Perpustakaan Desa, Perpustakaan Daerah, Perpustakaan Negeri, dan Perpustakaan Negara.

-----------------------------------------------------------------------

  Komen Cikgu: Alhamdulillah... harap anugerah ini sentiasa diadakan setiap tahun dan diperluaskan ke seluruh negara. Anugerah untuk cikgu pra takde ke? hehehe....

Rahsia Pelajar Terbaik

FOKUS dalam kelas menjadi rahsia dua pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Muhamad Nazrin Afifi Nasruddin (11A+) dan Shafiq Daniel Sabari (9A+). Menurut Muhamad Nazrin Afifi, waktu dalam kelas dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang diajar oleh guru dan membuat ulang kaji secara konsisten pada waktu malam. "Tidur secukupnya dan jangan lupa berdoa kepada yang Maha Esa," katanya memberi petua untuk berjaya. Selain itu, ujarnya, dia juga menjaga hubungan baik dengan guru dan rakan-rakan supaya memudahkannya belajar atau membuat latihan. "Aktif dalam aktiviti kokurikulum juga membantu dalam membina keyakinan diri ketika ditemu duga," pesan anak sulung yang aktif dalam sukan hoki ini. Dia yang bercita-cita menjadi jurutera baharu menghadiri temu duga biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Manakala Shafiq Daniel pula suka membantu rakan lain yang menghadapi masalah pembelajaran. Katanya dengan memberi penjelasan dan penerangan, dia juga mempelajari ilmu pengetahuan baru atau memperkukuhkan lagi kefahamannya terhadap sesuatu topik. "Saya rajin bertanya kepada guru dan rakan jika tidak faham atau bila ada keraguan," kata pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di Perancis ini. Langkah terbaik, menurutnya, adalah dengan mempunyai kumpulan belajar sendiri dalam jumlah tidak lebih daripada lima orang. "Belajar dan berbincang secara berkumpulan memudahkan kita menyelesaikan sebarang permasalahan," ujarnya yang mahu menjadi jurutera. Shafiq Daniel sudah menghadiri temu duga biasiswa Petronas dan MARA. Kedua-dua pelajar ini mendedahkan resipi kejayaan mereka selepas Majlis Anugerah Cemerlang dan Graduasi 2010 SBPI Gombak, Selangor baru-baru ini. Mereka menerima anugerah pelajar terbaik daripada Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Datuk Abd. Ghafar Mahmud. Turut hadir Pengetua Kanan sekolah itu, Jamaluddin Yusoff.

------------------------------------------------------------------------------------------

Komen cikgu: Alhamdulillah... marilah kita sama-sama belajar daripada orang yang dah berjaya...  :)