Friday 16 December 2011

Rahsia Pelajar Terbaik

FOKUS dalam kelas menjadi rahsia dua pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Muhamad Nazrin Afifi Nasruddin (11A+) dan Shafiq Daniel Sabari (9A+). Menurut Muhamad Nazrin Afifi, waktu dalam kelas dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang diajar oleh guru dan membuat ulang kaji secara konsisten pada waktu malam. "Tidur secukupnya dan jangan lupa berdoa kepada yang Maha Esa," katanya memberi petua untuk berjaya. Selain itu, ujarnya, dia juga menjaga hubungan baik dengan guru dan rakan-rakan supaya memudahkannya belajar atau membuat latihan. "Aktif dalam aktiviti kokurikulum juga membantu dalam membina keyakinan diri ketika ditemu duga," pesan anak sulung yang aktif dalam sukan hoki ini. Dia yang bercita-cita menjadi jurutera baharu menghadiri temu duga biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Manakala Shafiq Daniel pula suka membantu rakan lain yang menghadapi masalah pembelajaran. Katanya dengan memberi penjelasan dan penerangan, dia juga mempelajari ilmu pengetahuan baru atau memperkukuhkan lagi kefahamannya terhadap sesuatu topik. "Saya rajin bertanya kepada guru dan rakan jika tidak faham atau bila ada keraguan," kata pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di Perancis ini. Langkah terbaik, menurutnya, adalah dengan mempunyai kumpulan belajar sendiri dalam jumlah tidak lebih daripada lima orang. "Belajar dan berbincang secara berkumpulan memudahkan kita menyelesaikan sebarang permasalahan," ujarnya yang mahu menjadi jurutera. Shafiq Daniel sudah menghadiri temu duga biasiswa Petronas dan MARA. Kedua-dua pelajar ini mendedahkan resipi kejayaan mereka selepas Majlis Anugerah Cemerlang dan Graduasi 2010 SBPI Gombak, Selangor baru-baru ini. Mereka menerima anugerah pelajar terbaik daripada Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Datuk Abd. Ghafar Mahmud. Turut hadir Pengetua Kanan sekolah itu, Jamaluddin Yusoff.

------------------------------------------------------------------------------------------

Komen cikgu: Alhamdulillah... marilah kita sama-sama belajar daripada orang yang dah berjaya...  :)



No comments:

Post a Comment