Friday 16 December 2011

Warga pendidik prihatin alam sekitar


PROGRAM Warga Pendidik Prihatin Alam Sekitar dijangka menjadi teras untuk menyemarakkan aktiviti kokurikulum yang berkaitan dapat menyemai kesedaran dan kecintaan terhadap bumi kita.
Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, usaha tersebut akan memberi rangsangan kepada semua warga pendidik untuk terus melaksanakan aktiviti yang menjurus kepada pemeliharaan alam sekitar yang telah mula dilaksanakan oleh KPM sejak 1996.




Menurut beliau, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) juga telah menerbitkan buku Panduan Guru Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum sebagai asas dan pembelajaran mengikut tahapnya.
Selain itu, katanya, Persatuan berkaitan juga telah ditubuhkan di sekolah-sekolah sebagai langkah melengkapi aspek pembelajaran dalam kelas.
"Diharap agar program ini tidak diadakan secara bermusim atau bagi memenuhi tuntutan kokurikulum semata-mata," pada majlis pelancaran program itu di Sekolah Menengah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.
Jelas Noorainee, kita bukan sahaja perlu memupuk kesedaran tentang kepentingan alam sekitar malah penting untuk membudayakannya dalam kehidupan seharian.
"Mengamalkannya setiap hari akan dapat mengukuhkan kesedaran yang disemai melalui pembelajaran dalam bilik darjah," jelas isteri kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau memberitahu, sumbangan guru dalam usaha ini adalah penting kerana ia memerlukan kemahiran, kreativiti dan komitmen mereka untuk memastikan kesedaran membudayakan amalan ini diamalkan di kalangan warga sekolah.
Tanggungjawab memelihara alam sekitar, ujarnya, bukan hanya terletak di bahu guru, orang dewasa atau ahli persatuan sahaja tetapi merupakan tanggungjawab setiap individu.
"Ia boleh dimulakan dengan langkah yang kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik di sekolah, menghijaukan kawasan sekolah dengan menanam pokok serta membina taman rekreasi dan sebagainya," saran Noorainee.
Tambahnya, langkah kecil yang dilakukan secara berterusan akan menjadi kebiasaan dan seterusnya menjadi amalan seharian tidak kira di mana pelajar itu berada.
Bagaimanapun, kerjasama semua pihak adalah penting dalam memberi sokongan bagi memastikan pencemaran alam dapat dibendung, flora dan fauna dipelihara agar fenomena pemanasan global tidak begitu rakus membawa bencana dalam kehidupan.
Dengan cara ini, negara akan mampu melahirkan generasi yang mengutamakan unsur pelestarian alam sekitar dalam apa jua tindakan seterusnya mengekalkan keadaan alam sekitar yang baik untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Puspanita, Datin Seri Wan Norasiah Che Jaafar berkata, kerosakan alam sekitar perlu dipulihkan dan dipelihara supaya kesan negatifnya ke atas kehidupan akan dapat diminimumkan.
"Atas kesedaran itu, platform terbaik ialah dengan membangunkan modal insan yang prihatin terhadap alam sekitar dan ia paling berkesan dimulakan di sekolah," tegasnya.
Pada majlis itu, beberapa syarikat swasta turut memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi menjayakan program alam sekitar berkenaan.
Antaranya ialah Kumpulan Karangkraf yang memberi sumbangan berupa biasiswa bernilai RM30,000 dan syarikat Sasbadi Sdn. Bhd. yang memberi sumbangan berupa bahan bacaan bagi program itu.
Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. pula memberi sumbangan wang tunai bernilai RM10,000, Boston Web Academy Sdn. Bhd. (RM5,000), Canggih Sdn. Bhd. (RM5,000), Puspanita (RM3,000), Bank Rakyat (RM3,000), Red Curser Sdn. Bhd. (RM5,000) dan Taman Tema Sunway Lagoon yang memberikan sumbangan berupa baucer.
Sebagai simbolik perasmian program tersebut, Noorainee dan Wan Norasiah turut menanam lima batang pokok di kawasan sekolah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Komen cikgu: Cikgu pun sayang jugak alam sekitar...   :)


No comments:

Post a Comment